Tuesday 12 May 2015



Mengetahui simptom atau tanda yang menunjukkan seseorang wanita itu hamil atau mengandung adalah sangat penting. Ini membolehkan segala persediaan dari segi fizikal, mental dan emosi dapat dilakukan termasuklah sokongan daripada pihak suami dan keluarga. Selain itu, dapat memastikan diri untuk sentiasa menjaga kesihatan diri dan kandungan dengan sebaiknya.

  • Tidak datang haid
    Tidak datang haid ialah tanda kehamilan yang paling pasti bagi seorang wanita yang telah baligh dan yang mempunyai kitaran haid yang teratur.
  • Keletihan
    Tahap hormon progesterone yang tinggi boleh membuatkan anda berasa letih. Keletihan adalah tanda penting awal kehamilan, walaupun ia mungkin bukanlah simptom yang pasti tanpa kehadiran simptom-simptom lain.
  • Suhu badan yang tinggi
    Jika ketinggian suhu badan di luar tempoh haid yang dijangkakan, ia merupakan tanda awal kehamilan.
  • Mengidam
    Mengidam boleh jadi satu tanda kehamilan. Anda mungkin mengidam pada sesetengah jenis makanan dan akan berakhir sehingga anda melahirkan anak.
  • Kerap membuang air kecil
    Sebaik sahaja embrio melekat dan mula menghasilkan hormon human chorionic gonadotropin (hCG), anda mungkin mendapati anda kerap membuang air kecil.
  • Bengkak payudara
    Jika anda hamil, payudara mungkin menjadi begitu sensitif terhadap sentuhan tetapi pada tahap yang lebih sedikit. Apabila badan telah biasa dengan peningkatan hormon ini, kesakitan akan hilang.
  • Sakit belakang pinggang
    Peningkatan hormon progesterone dalam tubuh badan ibu hamil dan jangkitan saluran kencing selama kehamilan boleh menyebabkan sakit belakang di kalangan ibu hamil.
  • Pendarahan atau kekejangan akibat implantasi
    Kira-kira lapan hari selepas ovulasi, anda mungkin mengalami pendarahan implantasi, iaitu terdapat tompok-tompok darah berwarna merah jambu atau coklat serta sedikit kekejangan. Ini disebabkan telur membenam masuk ke dalam lapisan endometrium.
  • Sakit kepala
    Gangguan sakit kepala yang sering berlaku dalam kalangan ibu hamil disebabkan rasa lelah, loya, muntah dan tekanan darah rendah.
  • Perubahan mood dan stres
    Anda boleh mengalami perasaan yang terlalu beremosi dan menangis disebabkan oleh perubahan hormon.
  • Mabuk hamil pagi
    Jika anda bernasib baik, anda tidak akan mengalami mabuk hamil pagi (morning sickness) sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan. Tetapi seawal dua hari selepas persenyawaan, anda mungkin mula berasa loya dan tidak sedap perut.

0 comments:

Post a Comment